Baru-baru ni ada terbaca di Facebook tentang depression. It's well written stories which I think worth reading and sharing. Sometimes kita skeptical dengan orang-orang yang menghadapi depression/gila/kurang siuman sebab kita rasa kita lebih baik. But after a life experience, my view changed and I've learned to understand people more.
TANGGA
Malam itu, aku terfikir untuk naik ke flat aku di tingkat sembilan, gunakan tangga. Aku tak tahu kenapa, tapi desakan hati tu sangat kuat, jadi aku turuti desakan itu. Esok pun aku bukan ada apa nak dibuat.
Aku mula mendaki tangga satu persatu. Langkah aku terasa amat janggal. Kekok. Mungkin kerana dah lama aku tak bersenam.
Sejak kebelakangan ni, aku kerja siang dan malam. Terpaksa overtime back to back. Tak pernah cukup rehat. Jadi, badan pun sentiasa letih dan lesu.
Tiba di tingkat 2, otot-otot aku mulai terasa perit dan aku mula mengah. Namun, aku gagahi diri untuk teruskan niat aku. Langkah demi langkah diorak.
Malangnya, tiba di tingkat 4, aku terpaksa mengalah. Lutut aku dah longlai. Dada aku terada berat. Menghela nafas pun dah tak larat. Ketika itu terbit rasa menyesal buat kerja gila macam ni, dan aku ambil keputusan untuk guna lif sahaja.
Semasa aku nak menuju korridor yang menempatkan lif, aku terdengar suara seseorang di tangga tingkat atas. Aku pasang telinga.
“Arghhh! Betul ke apa aku nak buat ni?”
Kedengaran seperti suara seorang lelaki. Suara lelaki itu terketar-ketar, macam suara orang yang bercakap sambil menahan sedu-sedan kesedihan.
“Ah! Dah tak ada ertinya semua ni!” dengus lelaki di tingkat atas itu lagi.
Aku melangkah menuju semula ke tangga dan mendongak ke atas, mengintai di celah-celah susur tangga. Tak nampak apa-apa, jadi aku melangkah perlahan-lahan menaiki anak tangga untuk meninjau dengan lebih dekat.
Beberapa langkah sebelum aku tiba di tingkat 5, jantung aku terhenti sedetik apabila terlihat susuk seorang lelaki berdiri di atas belebas. Wajahnya memandang ke bawah, tetapi setelah perasan kehadiran aku, di memalingkan mukanya tepat arah aku.
“Jangan dekat!” pekiknya.
Spontan, aku angkat kedua-dua belah tangan aku seperti di tahan polis. Aku tak tahu kenapa aku beri reaksi itu. Jantung aku berdetak kencang.
“Kalau kau dekat, aku terjun!” amar lelaki itu.
Mata kami bertentangan. Baru aku perasan bola matanya kelihatan terperosok dalam rongga soket matanya. Tulang pipinya tertonjol membuatkan dia kelihatan begitu cengkung.
“Saya Adam. Nama Abang siapa?”
“Kenapa kau nak tahu?” soalnya kembali.
“Saja nak berkenalan.” kataku.
“Kau berambus!” ujarnya menghalau aku.
“Abang tinggal tingkat berapa?”
“Sembilan. Kenapa kau kesah?” sindirnya.
Tak sangka dia berjiran dengan aku. Aku tak pernah pula nampak lelaki itu sebelum ini di tingkat sembilan.
“Samalah! Ni kenapa Abang kat tingkat lima ni?
“Sebab aku takut nak terjun dari tingkat sembilan.”
“Kenapa Abang nak terjun? Cuba cerita pada saya. Mana tahu saya boleh tolong.”
“Kau nak tolong aku? HAHAHA! Masalah kau pun kau tak boleh selesaikan, ada hati nak tolong orang. Hutang kau dengan Ah Long tu bila nak selesaikan?”
Aku tersentak mendengar apa yang diperkatakan oleh lelaki tersebut. Mana dia tahu tentang hutang aku? Ah! Mungkin dia tembak rambang je. Ramai je penghuni flat ni berhutang dengan Ah Long.
“Saya tak ada hutang Ah Long.”
“Kau jangan tipu. Kau hutang RM56,550 kan? Semalam dia orang ada call kau, beri masa sampai minggu depan untuk selesaikan. Betul tak?”
Jantung aku bagai dipicit bila terdengar jumlah yang disebutnya itu. Tidak lari walau sesen pun. Memang itu jumlah hutang aku. Memang itu masa yang diberi oleh Ah Long. Macam mana dia boleh tahu? Aku tak ada beritahu sesiapa.
“Mana Abang tahu semua ni?”
“Adam! Aku tahu semua pasal kau! Aku tahu kau ada syak bini kau main kayu tiga. Meh aku beritahu kau, dia memang curang! Kau tahu kenapa dia curang? Sebab kau tak ada duit!” ujarnya.
Jantung aku diramas-ramas oleh perkataan yang dihamburkan oleh lelaki yang berdiri di belebas itu.
“Tak! Tu tak benar! Alya dengan Haris tu cuma kawan tempat kerja.”
“Adam, kau ni bodoh! Senang senang kena tipu dengan betina murahan macam tu. Ingat sikit, mana ada perempuan suka lelaki yang miskin macam kau!”
“Tak! Alya bukan perempuan macam tu!”
“Kau tak payah nafikan. Masa kau terserempak dia dengan Haris hari tu, kau jumpa dia orang kat mana? Dekat restoran mewah kan? Berdua kan? Mesra bukan main lagi mereka. Lagi pun, buat apa kau bela perempuan yang sebabkan mak kau mati?”
Aku jadi bingung. Kenapa lelaki tu tahu semua pasal aku. Kenapa dia tahu semua pasal masalah aku. Aku tak pernah beritahu sesiapa pasal ni.
“Kau siapa? Mana kau tahu semua pasal aku?”
“Adam! Kau dengar aku baik-baik. Hidup kau sekarang tak ada guna. Bila kau sampai rumah kau nanti, bini kau akan tanya pasal surat yang kau tertinggal dalam kocek seluar kau tadi. Surat kau diberhentikan kerja. Dia akan minta cerai. Lepas tu, hak penjagaan anak kau, akan dapat pada dia, sebab dia ibu, dia bekerja. Kau akan tinggal sehelai sepinggang. Tak ada isteri, tak ada anak, tak ada kerja. Yang ada hanya hutang berjumlah RM RM56,550. Buat apa kau bela betina tu?”
Celaka! Berani tuduh bini aku macam tu. Telinga aku panas dibakar amarah. Kepala aku berdenyut-denyut menahan gejolak yang bersarang di dada.
“Kau pengecut! Kau naif! Kau lelaki lemah dan dayus! Tak ada tempat untuk kau dibumi ini. Orang macam kau lebih baik mati!” pekik lelaki itu
Dijana letusan kemarahan, aku nekad menerpa ke arah lelaki untuk menolaknya dari belebas. Bukan aku yang harus mati, tapi bedebah itu yang harus mati.
Sebaik sahaja aku menyentuh tubuhnya, lelaki itu merangkul batang leher aku dan meruntun ke ke arah tebing belebas. Aku hilang keseimbangan, dan terhumban menjauhi bangunan…
Aku tak ingat apa yang berlaku selepas itu. Sedar-sedar aku sudah di hospital. Seluruhh badan aku sakit. Kaki aku kebas. Aku tak boleh gerakkannya.
***
Itu cerita Adam.
Adam telah dirujuk kepada ke Jabatan Perubatan Rehabilitasi untuk rawatan lanjutan ‘traumatic SCI L2 AIS A’. Dalam bahasa mudahnya— kecederaan trauma saraf tunjang yang menyebabkan lumpuh total di paras pinggang dan ke bawah.
Bila aku sebut total, aku maksudkan lumpuh motor dan juga sensori 100%. Adam tak boleh kawal dan rasa langsung anggota kakinya, malah tak boleh rasa dan kawal kencing dah beraknya.
Dia juga dibawah pemantauan doktor psikiatri.
Depressi bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng. Jika dibiarkan boleh menyebabkan masalah kesihatan mental dan komplikasi yang lebih parah.
Adam kata tak cuba bunuh diri, namun saksi kejadian berkata sebalikanya. Adam berdiri di belebas, dan dipujuk oleh beberapa penghuni rumah pangsa agar tidak terjun. Namun, Adam bercakap seorang diri sebelum melemparkan dirinya dari tingkat lima.
Adam hanya boleh terima kenyataan bahawa lelaki itu tidak wujud apabila dia lihat cermin. Sebenarnya lelaki itu adalah dirinya. Dia tak sedar wajahnya dah secengkung itu. Depressi menyebabkan dia hilang self awareness. Kata-kata lelaki itu adalah kata-kata lubuk hatinya.
Bila ada kes cubaan bunuh diri, tak usahlah kita sewenang-wenangnya label mereka sebagai tak kuat iman, calon neraka atau apa-apa nama yang hina. Kita tidak tahu apa yang mereka lalui dan hadapi. Kadang-kadang mereka tak niat pun nak bunuh diri.
Kita perlu bantu mereka, bukan tambah bebanan minda mereka. Bukan jadikan mereka bahan jenaka.
Apapun, kini Adam dah bebas daripada hasutan-hasutan negatif. Dia kini seorang OKU lumpuh kedua-dua belah kaki yang mampu berdikari sendiri. Dia pesan agar aku sampaikan cerita ini, agar orang ramai faham masalah orang sepertinya.
Maka kalian bukalah minda, lapangkan dada, dan fikirkan perkara ini.
Kerana ada kea-kes seperti Adam inilah, saya dan beberapa orang rakan telah menubuhkan Suicide Rescue Team Malaysia. Team ini akan turun padang untuk bantu sesiapa yang dilaporkan ada cubaan membunuh diri.
Team ini perlukan sokongan orang ramai. Buat masa ini kami hanya beroperasi di sekitar Lembah Klang. Jika anda mempunyai masalah sehingga terfikir menamatkan nyawa, maka hubungi page kami.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kami sedia mendengar
Kami sedia mendengar
Source:Facebook

